Pembukaan Grand Finals Liga Profesional Mobile Legends Indonesia (MPL ID) Musim Ke-16 berlangsung meriah pada Ahad, 2 November lalu di Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Nusantara (NICE), Pantai Indah Kapuk 2, Kab Tangerang, Banten, Indonesia.

Kerjasama antara MOONTON Games bersama Kementerian Ekonomi Kreatif (Ekraf) berjaya menunjukkan keunikan budaya Indonesia melalui acara pembukaan dengan seni tarian dan muzik tradisional khas dari negara itu.
Berjudul ‘Lakon Dwitunggal Jagad Pralaya’ yang bermaksud menyatukan dua raga untuk mengubah takdir, ia mencerminkan persaingan antara ONIC Esports dan juga Alter Ego yang akan mewakili Indonesia di kejuaraan dunia M7.
Sorotan utama dalam pembukaan Grand Finals MPL ID S16 ialah integrasi muzik yang menampilkan alunan irama tradisional klasik Jawa dengan Gamelan sebagai elemen utama dipersembahkan oleh seniman tempatan yang berkemahiran tinggi dalam bidang ini.

Selain muzik, upacara pembukaan Grand Finals MPL ID S16 turut menampilkan pelakon latar sebagai medium penceritaan, termasuk kemunculan gunungan sebagai pembuka tirai dan dalang sebagai pengisi suara untuk membantu menyampaikan kisah serta mesej yang lebih berkesan.

Karakter dilakonkan semula berdasarkan kisah Ramayana dengan berkolaborasi bersama komuniti Tari B’art seperti:
Rahwana: Watak yang mewakili musuh ketat yang menjadi punca kegagalan menjuarai beberapa edisi M Series sebelum ini, serta musuh masa depan yang perlu ditumpaskan untuk mencapai kejayaan.
Hanoman: Watak yang melambangkan kegagalan pada masa lalu.
Rama: Watak yang mewakili semangat untuk menjadi juara dan memperjuangkan maruah diri.
Lesmana: Watak yang melambangkan rakan seperjuangan dalam mempertahankan maruah diri.