Terima kasih kepada AirAsia’s Dream It Vol. 2 x SEGA, kami berpeluang merasai pengalaman Tokyo dari perspektif dunia permainan video. Bermula dari bengkel mod konsol yang unik hinggalah ke acara permainan video terbesar di dunia, Tokyo Game Show 2025.
Namun, perjalanan ini bukan sekadar tentang gaming semata-mata. Ia adalah kisah tentang ‘People, Places and Passion’ serta bagaimana dunia permainan menyatukan ketiga-tiga elemen ini.
Jom check out TLDR dekat sini:
Dream It merupakan sebahagian daripada The Colour of Connection (TCOC) iaitu sebuah kempen jenama AirAsia yang bertujuan merapatkan jurang antara pencipta kandungan mula meningkat naik dan peneraju industri di seluruh Asean.
Inisiatif ini menempatkan AirAsia bukan sekadar sebagai syarikat penerbangan, tetapi juga sebagai jenama gaya hidup yang menghubungkan idea, budaya, dan komuniti kreatif.
Setiap edisi Dream It memberi fokus kepada minat yang berbeza, membuka peluang kepada bakat muda untuk meneroka industri baharu melalui pengalaman dunia sebenar yang lebih bermakna.
Volume 1 Dream It berlangsung di Manila dengan tema muzik. Untuk Volume 2, tumpuan beralih kepada dunia permainan, salah satu sektor kreatif yang paling pesat berkembang di rantau ini.
Perjalanan ini bermula di Kuala Lumpur menerusi RedGames Jam 2025, acara tahunan AirAsia selama 48 jam yang menghimpunkan pembangun, artis dan pengaturcara dari seluruh Asean untuk menghasilkan permainan original dalam tempoh masa terhad.

Foto: AirAsia
Pasukan pemenang, Team Glep, membawa pulang hadiah utama berupa percutian eksklusif ke Tokyo untuk mewakili pembangun berbakat dari Asean di pentas global. Bersama barisan pencipta dan wakil penulis kandungan lain, termasuk kami dari MyGameOn, kumpulan ini dikenali sebagai Dreamers, sekumpulan individu bersemangat yang meneroka budaya permainan dan kreatif Tokyo bersama-sama.
Kemudian, kami menyertai satu pengalaman yang benar-benar unik: Bengkel Mod Konsol bersama Plus-Y.
Hanya ada dua bengkel seperti ini di dunia, dan salah satunya terletak di Akihabara, Jepun. Di sini, kami belajar cara mendapatkan semula komponen berfungsi daripada konsol lama dan mengintegrasikannya ke dalam konsol baharu. Ia adalah satu proses kreatif yang mengekalkan warisan konsol mudah alih Jepun. Malah, kami turut berpeluang menyesuaikan konsol kami sendiri dan membawanya pulang sebagai kenangan.

Foto: Amanda Louis/MyGameOn

Foto: Amanda Louis/MyGameOn
Sudah tentu, kunjungan ke Jepun tidak akan lengkap tanpa menjejakkan kaki ke acara Tokyo Game Show (TGS), sebuah festival permainan video tahunan terbesar negara itu, tempat studio global bukan sahaja mempamerkan judul baharu, tetapi juga permainan sedia ada yang terus membina komuniti kukuh di seluruh dunia.
Pengunjung berpeluang mencuba demo baharu, kandungan tambahan, dan pratonton eksklusif secara langsung di lokasi.

Foto: Amanda Louis/MyGameOn
Untuk TGS 2025, senarai pempamer merangkumi nama-nama gergasi industri seperti SEGA, Capcom, Infold, HoYoverse, Riot Games dan banyak lagi, masing-masing hadir dengan ruang pamer mega yang dipenuhi permainan boleh-main, barangan eksklusif, serta pengumuman content yang memeriahkan suasana.

Foto: Amanda Louis/MyGameOn
Salah satu momen tak boleh lupa apabila kami menemui kolaborasi istimewa AirAsia bersama SEGA menerusi Sonic Racing: CrossWorlds, yang menampilkan rekaan kereta bertema AirAsia boleh dipilih dalam permainan. Ia adalah satu pencapaian yang melambangkan sejauh mana pengaruh Asean kini menembusi pentas gaming global.
Pengalaman itu cukup mengujakan dengan berada di Tokyo, dikelilingi peminat dan pencipta yang penuh passion, sambil menyedari bahawa dunia permainan telah membawa kami ke sini. Tidak pernah terlintas bahawa minat terhadap permainan boleh membuka peluang pekerjaan hingga ke luar negara. Ia benar-benar satu momen “impian jadi nyata.”
Imbas kembali, Dream It Vol. 2 x SEGA bukan sekadar mengetengahkan budaya permainan malah ia menunjukkan bagaimana minat yang dikongsi mampu merentasi sempadan, mencetuskan kreativiti, dan membuka peluang yang tidak disangka.
Menerusi inisiatif seperti The Colour of Connection, AirAsia terus membuktikan bahawa gaming bukan hanya hiburan; ia adalah bahasa universal yang menyatukan individu daripada pelbagai latar belakang dan industri.
Bagi para Dreamers yang menjejakkan kaki ke Tokyo, perjalanan ini bukan sekadar sebuah trip kerana ia menjadi bukti bahawa apabila minat bertemu peluang, impian benar-benar boleh bawa anda terbang lebih jauh.